*Artikel berdasarkan soalan pengunjung
Peptic ulcer ("gastrik") yang berlaku pada perut menghasilkan lubang yang dikelilingi corak yang menyerupai bentuk bintang
Gambar dari Wikipedia
Peptic ulcer "gastrik" adalah masalah yang terjadi akibat lapisan pada perut terhakis. Ia biasanya berlaku pada bahagian perut dan bahagian usus kecil sebelah atas (duodenum). Tanda yang paling kerap dirasai oleh individu yang menghadapi masalah ini ialah sakit pada bahagian abdomen (perut) atas pusat.
Peptic ulcer yang berlaku pada bahagian perut (stomach) dipanggil gastric ulcer (inilah sebabnya mengapa ramai rakyat Malaysia memanggil peptic ulcer hanya dengan perkataan "gastrik" meskipun ianya tak semestinya berlaku hanya di perut). Peptic ulcer yang berlaku di dalam salur makanan yang menghubungkan perut dan mulut (esophagus) dipanggil esophageal ulcer. Peptic ulcer yang berlaku pada bahagian awal usus kecil dipanggil duodenal ulcer.
Menurut Myoclinic, makanan pedas dan pekerjaan yang mendatangkan stres TIDAK menyebabkan peptic ulcer, namun banyak sumber mengatakan bahawa, makanan pedas dan pekerjaan yang mendatangkan stres sememangnya menyebabkan peptic ulcer. Menurut Myoclinic lagi, biasanya yang menyebabkan peptic ulcer ialah ubat ubatan dan jangkitan (terutamnya H. pylori)
---
Simptom simptom
Sakit adalah simptom yang paling kerap. Sakitnya bagai terbakar. Sakit ini adalah disebabkan oleh ulcer tersebut dan dilipatgandakan lagi kesakitan tersebut dengan asid dari perut yang menyentuh permukaan ulcer. Sakit tersebut boleh:
- Boleh dirasai di mana sahaja dari kawasan pusat hingga ke tulang dada (berbeza daripada sakit pedih ulu hati yang melibatkan kawasan betul betul di bawah tulang dada - xyphoid process)
- menjadi lebih teruk sewaktu perut kosong (berlapar)
- menigkat kesakitan pada waktu malam
- Biasanya dapat dikurangkan untuk jangka waktu pendek dengan makan makanan tertentu atau dengan mengambil ubat anti-asid
- Sakit datang dan pergi dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu.
Tanda lain: Tanda berikut adalah agak jarang namun berkemungkinan berlaku.
- Muntah darah - darah berwarna hitam atau merah
- Darah hitam seperti tar dapat dilihat dalam najis / najis menjadi hitam
- Muntah dan loya
- Berat badan berkurang tanpa banyak sebab
- Selera berubah (bertambah atau berkurang)
Bila patut anda berjumpa doktor? Jumpalah dengan doktor anda sekiranya anda mempunyai tanda tanda seperti yang telah disebutkan. Ubat di farmasi seperti antacid (untuk kurangkan asid) dan perencat asid (acid blocker) boleh mengurangkan kesakitan yang anda alami, tetapi kesannya tidak lama. Sekiranya sakit anda masih tidak reda dengan ubat ubatan tersebut, sila jumpa doktor di klinik/hospital.
--------------------------------
Peptic ulcer berlaku apabila asid pada salur pencernaan makanan 'memakan' dinding salur makanan sendiri dan ia berlaku samada pada perut, esophagus mahupun pada permulaan usus kecil. Asid tersebut boleh menyebabkan kesakitan akibat luka pada dinding salur makanan tersebut dan boleh menyebabkan pendarahan.
Salur makanan anda basanya dilindungi oleh selapisan mukus yang melindunginya daripada asid. Namun, sekiranya jumlah asid yang dihasilkan perut sangatlah meningkat dan jumlah mukus pelindung mengurang, masalah ulcer boleh berlaku. Punca punca termasuklah:
- Kuman. PUnca yang amat kerap menyebabkan ulcer ialah kuman bernama Helicobater pylori (H. pylori). Kuman ini hidup dan membiak dalam lapisan mukus yang bertugas melindungi bahagian perut dan usus kecil. Biasanya H. pylori tidak mendatangkan sebarang tanda tanda masalah. Namun kadangkala, ia boleh merosakkan lapisan mukus pada dinding salur makanan dan menyebabkan ulcer. Tidak berapa jelas bagaimana H pylori tersebar dari satu individu ke individu yang lain. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia berlaku akibat aktiviti yang memerlukan sentuhan mulut ke mulut seperti bercium. Manusia juga turut mendapat jangkitan daripada makanan dan minuman.
- Kerap menggunakan ubat tahan sakit (pain relievers). Ubat tertentu di fasmasi boleh menyebabkan radang pada perut dan usus kecil. Ubat ini termasuk aspirin, ibuprofen, naproxen, ketoprofen dan lain lain. Peptic ulcer adalah lebih biasa berlaku pada orang dewasa yang mengambil ubat ubatan ini dengan lebih kerap seperti dalam hal orang yang menghidap penyakit arthritis. Untuk mengelakkan rasa tidak selesa pada perut, pastikan anda mengambil ubat tahan sakit tersebut (sekiranya anda perlu makan ubat tersebut) dengan makanan pada waktu yang sama. Ubat Panadol adalah alternatif yang baik bagi ubat yang telah disebutkan tadi kerana ia tidak menyebabkan ulcer (tetapi perlu dapat kebenaran doktor sebelum mengubah ubat yang anda makan, kerana panadol tidak mempunyai efek anti-inflammatory)
- Ubat lain. Ubat ubatan lain yang juga boleh menyebabkan peptic ulcer termasuk ubat yang digunakan untuk masalah osteoporosis yang dipanggil bisphosphonate (Actonel, Fosamax, dll.).
--------------------------------------------------
Faktor risiko (risk factor)
Anda boleh meningkatkan kemungkinan peptic ulcer sekiranya anda:
- Merokok. Merokok meningkatkan risiko peptic ulcer dalam individu yang dijangkiti H pylori.
- Minum alkohol. Alkohol boleh mencederakan mukus yang meliputi perut dan meningkatkan asid yang dirembes di perut.
- Stres yang tidak terkawal. Walaupun stres telah dikatakan tidak menyebabkan peptic ulcer secara langsung, namun ia adalah faktor yang menyumbang kepadanya. Anda mungkin stres untuk berbagai bagai sebab - emosi terganggu, pembedahan, trauma fizkal, atau kemalangan seperti badan terbakar/renjatan elektrik, dan lain lain.
---------------------------------------------------
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, peptic ulcer boleh menyebabkan:
- Pendarahan dalaman. Pendarahan boleh berlaku dengan perlahan lahan menyebabkan kekurangan darah berlaku (anemia) mahupun pendarahan serta merta yang menyebabkan banyak darah hilang yang memerlukan anda dimasukkan ke dalam hospital atau menjalani transfusi darah (blood trasfusion)
- Jangkitan. Peptic ulcer boleh 'memakan' dinding perut dan menyebabkan lubang, meletakkan anda betul betul dalam risiko yang amat besar untuk jangkitan abdomen (peritonitis) yang amat menyakitkan dan mengancam nyawa,
- Parut dalam perut. Peptic ulcer boleh membentuk parut dalam perut (dipanggil constriction) yang seterusnya menyebabkan masalah aliran makanan dari mulut ke usus. Ini boleh dilihat dengan tanda tanda loya, perut rasa kenyang selalu, muntah dan turun berat badan.
-------------------------------------------------------------------------------
Ujian dan diagnosis
Dalam usaha mengenalpasti masalah peptic ulcer, anda harus menjalani ujian seperti:
- Ujian untuk mengesan H pylori. Doktor akan menyarankan anda untuk menjalani ujian ini untuk menilai samada anda ada ataupun tidak kuman ini dalam perut. Terdapat dua jenis ujian. yang pertama sampel perut akan diambil melalui biopsi dan diuji kehadiran H pylori di dalamnya. Ujian yang kerap dilakukan ialah anda disuruh untuk minum urea yang dilabelkan dengan radioaktif karbon dan sekiranya urea tersebut bertukar menjadi karbon dioksida dalam kuantiti yang banyak, ia menunjukkan terdapatnya bakteria H pylori dalam perut anda. Ini berlaku kerana bakteria H pyrlori memetabolismakan urea kepada karbon dioksida.
- Menggunakan skop (endoscope) untuk memeriksa salur makanan anda. Semasa ujian endoskopi, doktor akan memasukkan sejenis tiub yang dilengkapi dengan lensa kamera (endoscope) ke dalam tekak anda seterusnya turun ke bawah ke bahagian esophagus (salur makanan) ke perut. Ini membolehkan sampel biopsi diambil untuk diperiksa di bawah mikroskop dan lain lain keperluan. Biasanya, orang tua akan disarankan untuk menjalani ujian ini kerana mereka mempunyai risiko yang lebih besar sekiranya mengalami peptic ulcer.
Gambar seperti yang dilihat melalui endoskop (kamera)
Gambar dari wikipedia
- X-ray (sinar x). Anda akan disuruh minum cecair putih yang mengandungi Barium yang membolehkan ulcer dalam perut anda dilihat dengan lebih jelas.
-------------------------------------------------------------------------------------
Rawatan
Rawatan termasuk:
- Antibiotik melawan H pylori (Clarithromycin, Amoxicillin, Metronidazole Tetracycline)
- Ubat melawan lebihan asid dengan cara merencat penghasilan asid (Omeprazole, lansoprazole etc) Kesan jangka masa panjang ialah: mudah mengalami kecederaan tulang. Suplemen kalsium dapat menyelesaikan masalah ini.
- Menggunakan histamine blocker (Nizatidine, Cimetidine, famotidine, ranitidine)
- Antasid yang meneutralkan asid pada perut. Kesan sampingan termasuk cirit birit dan sembelit (bergantung pada ramuan ubat tersebut)
- Ubat pelindung sel pada perut (cytoprotective drugs) termasuk sucralfate, bismuth subsalicylate, misoprostol.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Gaya hidup dan rawatan di rumah
Anda boleh melegakan kesakitan anda sekiranya anda:
- Memilih diet yang sihat dan seimbang. Banyakkan makan buah buahan dan sayur sayuran dan karbohidrat yang mempunyai kandungan serat yang banyak. Banyakkan makan makanan yang kaya dengan vitamin untuk memastikan proses sembuh menjadi cepat.
- Sekiranya anda menggunakan ubat tahan sakit dengan kerap, minta doktor anda untuk menukarkan ubat tersebut kepada Panadol.
- Kawal stres anda dengan bersukan atau aktiviti menyeronokkan seperti menulis jurnal dan membaca Al Quran.
- Jangan merokok (berhentilah dari merokok). Merokok meningkatkan asid pada perut dan menggalakkan aktiviti H pylori.
- Jangan minum kopi dan teh dan coklat berlebihan
- Jangan minum alkohol kerana ia adalah haram dan ia menipiskan dinding perut.

.png)