Mesin hemodialisis untuk merawat masalah Kegagalan Buah Pinggang Tahap Akhir (ESRF)
Gambar dari: Wikipedia
Glomerulonephritis bermaksud:
Glomerulo = bahagian penapis pada ginjal yang berfungsi untuk menapis keluar cecair dan bahan lain
Nephr = Ginjal
-itis = radang
Glomerulo-nerphr-itis = radang yang terletak pada tempat penapisan di buah pinggang.
Antara manifestasi masalah ginjal ini ialah Kegagalan Buah Pinggang Tahap Akhir (ESRF) yang menyebabkan buah pinggang gagal menjalankan fungsinya dan jumlah air kencing yang berjaya dikeluarkan adalah amat sedikit dan badan tidak efektif dalam menyingkirkan bahan kumuh. Glomerulonephritis adalah masalah yang menyebabkan kerosakan pada sistem penapisan buah pinggang (glomerulus) yang menyebabkan protein dan darah keluar daripada buah pinggang ke air kencing. Oleh sebab wujudnya darah yang banyak dalam air kencing, maka ia boleh membentuk 'cast' (sejenis jasad) pada tubul ginjal yang boleh dikesan melalui mikroskop. Masalah glomerulonephritis juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah masalah lain.
Apa yang doktor biasa buat jika pesakit menghadapi glomerulonephritis?
Biasanya, doktor akan memastikan pesakit yang menghidap glomerulonephritis mempunyai tekanan darah yang normal (130/80) dan sekiranya pesakit itu mempunyai protein dalam air kencing, maka tekanan darah perlu diturunkan lagi sehingga 125/75 mmHg. Rawatan menurunkan tekanan darah termasuk memberi pesakit ubat ACE-i (Angiotensin Converting Enzyme inhibitor, -pril) atau ARA (Angiotensis II Receptor Antagonist, -sartan). Kajian terbaru mendapati bahawa, menggabungkan kedua dua ubat ini dapat merendahkan tekanan darah dengan lebih efektif dan lebih bagus untuk individu yang menghadapi masalah protein dalam air kencing (proteinuria).
Antara penyakit glomerulonephritis ialah:
IgA (imunoglobulin A) nephritis (Penyakit Berger)
Ini merupakan penyakit yang paling kerap berlaku dalam dunia maju hari ini. Penyakit ini dimanifestasi oleh kencing berdarah (sama ada yang boleh dikesan dengan mata kasar mahupun yang hanya boleh dikesan dengan mikroskop). Biasanya pesakit yang menghidapi masalah ini ialah orang lelaki muda yang menghidap kencing berdarah selepas beberapa hari dijangkiti kuman di bahagian tekak (pharingitis). Disebabkan kuman tersebut menyerang kawasan mukosa, maka antibodi yang dihasilkan merupakan dari kumpulan IgA. antibodi IgA yang luar biasa ini menyerang bukan sahaja bakteria, malah menyerang tisu badan termasuk buah pinggang.
Imunoglobulin A biasa adalah sangat berguna kepada imuniti badan. Namun dalam kes ini, IgA ini menyebabkan kerosakan pada buah pinggang.
Di buah pinggang, antibodi ini menyerang kawasan glomerulus dan menyebabkan peningkatan jumlah sel mesangium, yang seterusnya menyebabkan sumbatan pada sistem penapisan buah pinggang. Iritasi yang dilakukan oleh antibodi ini juga menyebabkan kebocoran pada sistem penapisan buah pinggang dan seterusnya menyebabkan darah keluar ke air kencing. Biasanya, penyakit ini dirawat dengan steroid dan cyclophosphamide. Peluang untuk sembuh bagaimanapun agak tipis bagi individu yang mempunyai tekanan darah tinggi yang melampau terutamanya yang berjantina lelaki, menghidapi proteinuria (protein dalam air kencing), atau sudah sedia ada mempunyai masalah buah pinggang. 20% pesakit menghadapi kegagalan buah pinggang tahap akhir selepas 20 tahun menghidapi glomerulonephritis.
Systemic Lupus Erythematosus (SLE)
Penyakit ini juga menyebabkan glomerulonephritis dalam 1/3 daripada jumlah pesakit.
Penyakit Goodpasture (Anti-glomerular basement membrane)
Penyakit ini adalah disebabkan oleh antibodi yang menyerang badan sendiri terutamanya kolagen (collagen type IV) di kawasan glomerulus buah pinggang yang menyebabkan glomerulonephritis. Selain buah pinggang, penyakit ini boleh mengakibatkan masalah pada paru paru (kerana di paru paru juga mempunyai kolagen kumpulan IV) dan menyebabkan batuk berdarah. Pesakit banyak terdiri daripada lelaki muda, namun, ia boleh melanda individu tak kira usia dan jantina. Biasanya, penyakit ini dimanifestasi oleh kencing berdarah. Penyakit ini amat cepat perkembangannya dan oliguria (tidak dapat kencing/ kencing sedikit) mengambil masa yang singkat untuk berlaku. Sekiranya pesakit diberi kortikosteroid seawal mungkin, maka penyakit ini dapat dibanteras dan kemungkinan untuk penyakit ini berulang adalah amat rendah.
Glomerulonephritis yang berkembang (Proliferative Glomerulonephritis)
Antara sebab yang paling kerap menyebabkan glomerulonephritis-berkembang ini ialah jangkitan sterptococcus. Ia boleh berlaku 1-12 minggu selepas jangkitan berlaku samada di tekak mahupun jangkitan berlaku pada kulit. Antigen daripada kuman streptococcus itu akan masuk ke kawasan glomerulus seterusnya menyebabkan imuniti badan menghantar antibodi untuk menyerang kawasan glomerulus (sistem penapis) buah pinggang. Gejala yang biasa didapati akibat penyakit ini ialah nephritic syndrome (kencing berdarah, sedikit protein dalam air kencing, oliguria, kegagalan buah pinggang, perkembangan sel mesangium dan lain lain).
Henoch Schonlein Purpura (Tompok ungu Henoch Schonlein)
Penyakit ini adalah antara subset bagi IgA nephropathy dan menurut satu sumber lain adalah subset bagi penyakit 'rapidly progressive Glomerulonephritis). Manifestasi termasuk ruam yang berwarna ungu merah terutamanya berlaku di kawasan extensor (termasuk di permukaan atas kaki), sakit sendi, bengkak pada kulit kepala dan skrotum, sakit perut dan masalah buah pinggang.
Tompok ungu Henoch Sconlein
Gambar dari Wikipedia
Glomerulonephritis yang cepat berkembang (Rapidly Progressive Glomerulonephritis)
Ini adalah merupakan panyakit buah pinggang yang amat merbahaya sekali kerana ia boleh menyebabkan buah pinggang mencapai peringkat kegagalan akhir hanya dalam masa beberapa hari. Biasanya, penyakit ini dapat dikenalpasti dengan melihat melalui mikroskop sampel dari pesakit. Imej yang boleh dilihat melalui mikroskop ialah glomerulus yang berbentuk bulan sabit.
Imej mikroskopi menunjukkan bentuk inflamasi bulan sabit
Gambar dari Wikipedia