Gambar menunjukkan tiub kencing (Foley) dengan belon yang dikembangkan di dalam pundi kencing untuk mengelakkannya tertanggal dari salur kencing lelaki.
Gambar oleh wikipedia
Tiub kencing / Urinary Catheter (UT) adalah sejenis tiub yang dimasukkan ke dalam salur kencing seseorang bagi mengalirkan air kencing dari individu tersebut ke dalam bag khas. Tiub ini dimestikan penggunaannya pada individu yang mempunyai masalah kencing sewaktu berada di hospital, individu yang tidak dapat kencing akibat terdapat prostat yang bengkak, pesakit yang perlu diawasi isipadu air yang diminum dan dibuangnya dan lain lain lagi. Tiub ini terdapat dua kategori utama iaitu tiub yang digunakan dalam jangka masa panjang dan tiub yang digunakan hanya untuk sekali guna sahaja. Biasanya tiub yang digunakan untuk jangka masa panjang berwarna kuning dan diperbuat daripada getah dan lembut manakala tiub untuk sekali guna adalah lebih keras dan berbagai warna.
Pada kebiasaanya, tiub ini dimasukkan oleh samada doktor ataupun jururawat yang terlatih. Disebabkan wanita mempunyai salur kencing yang lebih pendek dan mudah berbanding lelaki, biasanya tiub kencing dalam wanita dimasukkan oleh jururawat wanita, dan disebabkan salur kencing lelaki adalah lebih berkelok dan panjang, doktor lelaki akan memasukkan tiub kencing tersebut ke dalam pesakit lelaki. Sekiranya berlaku situasi dimana jururawat perempuan tidak dapat memasukkan tiub kencing ke dalam salur kencing ke dalam pesakit wanita, barulah doktor wanita dan kemudiannya doktor lelaki akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tiub yang biasa digunakan dipanggil tiub Foley. Untuk memasukkannya ke dalam pesakit wanita adalah mudah dan biasanya tiada banyak masalah. Oleh sebab itu, artikel ini akan menceritakan tentang bagaimana ia dimasukkan ke dalam lelaki kerana biasanya teknik memasukkannya ke dalam pesakit lelaki adalah lebih rumit dan berisiko.
Garisan merah menunjukkan salur kencing lelaki yang perlu dilalui oleh tiub ini. Disebabkan ia lebih berkelok, maka prosedur memasukkan tiub ke dalam kemaluan lelaki adalah lebih sukar.
Gambar dari Wikipedia.
Sebelum memasukkan tiub ini ke dalam salur kencing lelaki, pesakit disuruh berbaring, sejenis gel ubat kebas akan dimasukkan ke dalam salur kencing pesakit dengan sejenis alat inject yang khusus, dan biasanya ia tidak menyakitkan. Setelah gel ubat kebas itu dimasukkan ke dalam salur kencing, alat kemaluan ditegakkan ke atas kemudian barulah tiub itu dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam salur kencing melalui bukaan kemaluan. Pada mulanya tiub itu dimasukkan hanya 10 cm sahaja dalam keadaan kemaluan ditegakkan ke atas. Kemudian, kemaluan yang masih dalam kedaan ditegakkan itu diturunkan 90 darjah ke bawah untuk membolehkan tiub kencing itu dimasukkan lebih jauh lagi. Perubahan 90 darjah posisi kemaluan pesakit diperlukan kerana salur kencing lelaki adalah lebih berkelok dan rumit. Setelah tiub dimasukkan sepenuhnya, salur tersebut perlu dinilai samada adakah hujungnya sudah benar benar berada di pundi kencing mahupun tidak.
Untuk memastikan ianya benar benar berada di pundi kencing, biasanya air kencing akan keluar sendiri daripada tiub tersebut. Namun boleh jadi pesakit sudah buang air sebelum tiub dimasukkan ke dalam salur kencing pesakit. Dalam pesakit begini, pegawai perubatan terlibat perlu menggunakan picagari untuk menyedut keluar air kencing dari tiub untuk memastikan hujung tiub benar benar di dalam pundi kencing. Sekiranya masih tidak keluar, boleh jadi tiub tersumbat dengan gel ubat kebas tadi. Oleh itu pegawai tersebut perlulah menyuntik air ke dalam tiub tersebut untuk mengeluarkan sumbatan ubat kebas yang melekat di hujung tiub kencing itu. Sekiranya masih tidak keluar air kencing dari tiub, maka pegawai perubatan tersebut perlulah mengesyaki bahawa salur kencing tersebut berkemungkinan terkeluar daripada salur kencing ke prostat. Ini adalah perkara yang merbahaya dan perlu dilaporkan kepada doktor pakar untuk mengelakkan pendarahan dan kebocoran salur kencing.

