Alat / Teknik Mencegah Kehamilan


Kaedah mencegah kehamilan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Mungkin ramai ibu ibu yang mahu menjarakkan kelahiran satu bayi dengan bayi yang lain untuk memudahkan menjaga mereka dan ada yang mahu menjarakkan kelahiran setelah melakukan pembedahan cesarian untuk mengelakkan komplikasi. Ya, artikel ini akan menyenaraikan serta menghuraikan serba sedikit berkenaan setiap daripada kaedah tersebut.

Ok, sebelum pergi lebih lanjut, sila baca siapakah yang dibolehkan dan tak dibolehkan menggunakan kaedah pencegahan kehamilan:

Ulama’ yang menyertai penyelidikan berkaitan soalan ini merumuskan resolusi berikut;
  1. Tidak dibenarkan untuk mewartakan undang-undang umum yang mengehadkan kebebasan pasangan untuk mempunyai ramai anak.
  2. Adalah dilarang untuk ‘secara kekal’ menghentikan keupayaan lelaki atau wanita untuk menghasilkan zuriat seperti hysterectomy (buang rahim) atau vasectomy (buang testis), selagi mana tiada keadaan yang memerlukan menurut kerangka Syariat Islam
  3. Adalah dibenarkan untuk mengawal waktu kelahiran dengan niat menjarakkan kehamilan atau menangguhnya kepada waktu tertentu, jika terdapat keperluan Syariah dengan mendapat pandangan, nasihat dan persetujuan bersama di antara pasangan. Walaubagaimanapun, ia mestilah dilakukan tanpa membawa sebarang kemudaratan dengan kaedah yang dilulus Syara’, dan tanpa melakukan apa-apa yang merencat kehamilan semasa yang wujud.

Kaedah mencegah kehamilan mengandungi beberapa jenis yang popular dan efektif. Yang paling popular dan efektif dan digunakan dalam banyak wanita ialah kaedah pil pencegahan (COC - Combined Oral Contraceptive). COC adalah pil yang mengandungi hormon estrogen dan progesteron yang kedua duanya digunakan untuk menghentikan (secara sementara) kitaran kesuburan ovari. Ianya adalah merupakan pil yang perlu diambil setiap hari selama 3 minggu berturut turut dalam sebulan tanpa meninggalkan walau satu hari pun, dan diselangi dengan 1 minggu tanpa pil. (Dalam sebulan, 3 minggu perlu makan pil, dan 1 minggu tak perlu). Dalam tempoh 1 minggu tanpa pil tersebut, darah haid akan berlaku seperti biasa dan kitaran haid anda akan berlaku seperti biasa (normal).

Gambar menunjukkan pil COC (Combined Oral Contraception). Gambar dari Wikipedia.

Kaedah pencegahan yang kedua ialah penggunaan pil Progestron sahaja (POP - Progestron Only Contraception) yang menggunakan hanya progestron tanpa menambah estrogen ke dalamnya. Progesteron sahaja sudah cukup untuk mencegah kehamilan kerana progesteron bertindak menebalkan serviks menjadikan rahim sukar dimasuki sperma dan menipiskan dinding rahim menyebabkan ovum yang tersenyawa sukar melekat. Selain itu, dalam jumlah yang lebih banyak, progesteron bertindak ke atas kelenjar pituitari dan mengarahkannya untuk menghentikan stimulasi pada ovari seterusnya membantutkan penghasilan ovum (telur). POP adalah lebih baik daripada COC dalam wanita yang sudah berumur lebih 35 tahun, wanita yang diketahui mengalami masalah salur darah, masalah penggumpalan darah, dan dalam wanita yang disahkan menghidap barah payudara, barah ovari dan rahim (uterus). Walaupun begitu, POP tidak berapa digemari pengguna kerana setelah memakainya, ramai yang mengadu pendarahan istihadah yang tidak menentu dan berlaku dalam jangkamasa yang agak lama, rasa tidak selesa pada payu dara, pertumbuhan payudara yang lambat dan naik berat badan.

Kaedah pencegahan yang yang jarang digunakan tetapi sangat  efektif ialah Implanon (atau nama barunya Nexplanon). Ianya merupakan sejenis rod sebesar batang mancis yang ditanam di bawah kulit dan mampu memberikan kesan cegah kehamilan selama 3 tahun. Ianya mengandungi Progesteron sahaja (sejenis POP), dan amat baik bagi mengelakkan kanser payudara, rahim dan ovari, tetapi boleh menyebabkan (amat amat jarang berlaku) masalah jantung dan salur darah, dan biasanya untuk subur kembali mengambil masa dalam 5 bulan dari tarikh berhenti menggunakannya. Keberkesanannya amat tinggi iaitu hanya 0.05% kegagalan berlaku daripada keseluruhan pemakai yang direkodkan. Ianya amat baik bagi yang selalu tertinggal makan pil dan tidak berdisiplin mengikut jadual.

Gambar menunjukkan Implanon (sebesar mancis), dimasukkan ke bawah kulit pada lengan. Gambar dari: MayoClinic.

Kaedah seterusnya yang selalu digunakan dan agak berkesan (60% daripada pengamalnya berjaya mengelakkan kehamilan) ialah perancangan tarikh ovulasi (ovulasi = waktu telur matang). Telur akan matang dan sedia disenyawakan pada hari ke 14 daripada hari pertama seorang wanita datang haid. Sekiranya hubungan seksual dielakkan pada hari ke 12,13,14,15,16 daripada hari pertama haid, maka ovum (sel telur) tiada peluang untuk disenyawakan dan dinding rahim akan mula meluruh. Namun, dalam teknik ini, banyak yang tidak berjaya kerana tidak dapat mengawal diri dan tidak dapat mengelakkan dari melakukan hubungan intim pada hari ke12, 13, 14, 15 ,16 tersebut.

Kaedah yang sangat familiar bagi banyak orang ialah penggunaan 'barrier technique' iaitu penggunaan kondom. Penggunaan kondom tidak berapa berkesan kerana banyak orang tidak menggunakannya dengan betul. Sekiranya orang ramai menggunakannya dengan betul, keberkesanannya mencapai 95%, bermaksud, dalam 100 orang yang memakainya dengan betul, 5 orang akan didapati hamil.

Kaedah yang selalu didengar tetapi agak jarang digunakan pada waktu ini ialah penggunaan IUD (intra-uterine device). Ianya adalah sejenis alat yang dimasukkan ke dalam rahim yang berperanan mengelakkan ovum yang tersenyawa dari melekat ke dinding rahim.

Gambar menunjukkan IUD jenis hormon pada posisi dalam rahim. Gambar dari Wikipedia

Namun banyak komplikasi daripadanya. Antaranya, kemungkinan untuk seorang wanita itu untuk mengalami kehamilan luar rahim lebih tinggi daripada biasa. Kehamilan luar rahim menyebabkan tanda tanda sakit perut yang luar biasa, rasa mahu pitam, dan pucat (radang rahim dalam yang terlibat dengan seks bebas). Jenis yang agak baru ialah dari jenis Copper IUD yang mengandungi Kuprum dan Zink yang berfungsi untuk membunuh sel sperma dan menjadikannya lebih efektif tanpa menggunakan hormon. Terdapat juga IUD jenis hormon yang memasukkan hormon ke dalam rahim bagi mengubah fizikalnya menjadikannya sukar dimasuki sperma dan menjadikan dinding rahim nipis dan sukar ditembusi telur tersenyawa (sekiranya sperma berjaya memasuki rahim)

Gambar menunjukkan IUD jenis Kuprum. Gambar dari Wikipedia

Jadi bagi yang bercadang mahu menggunakan alat mencegah kehamilan, yang pertama perlulah menilai baik dan buruk sesuatu alat tersebut, dan memastikan alat tersebut menepati syara'. Kemudian perlu menilai adakan ia sesuai untuk anda.

 
Hak Milik KesihatanOnline.Com. Powered by Blogger.