Perubahan Hormon:
Sewaktu mengandung, progesteron dihasilkan oleh Corpus Luteum iaitu sejenis tisu dalam telur (ovari) selama 35 hari dari tarikh berlakunya persenyawaan antara sperma dan ovum. Selepas 35 hari dari tarikh ini, tisu ini tidak lagi menghasilkan progesteron dan tugas penghasilan progesteron diambil alih oleh uri bayi (pacenta). Progesteron menyebabkan otot rahim menjadi relaks dan membolehkannya mengembang, mengekalkan penebalan dinding rahim dan meningkatkan suhu badan ibu mengandung.
Estrogen juga turut meningkat dan menyebabkan payudara semakin membesar. Selain itu, estrogen juga mengakibatkan 'water retention' yang menyebabkan muka kelihatan 'sembab'.
Sewaktu mengandung juga, kelenjar tiroid ibu membesar dan menghasilkan lebih banyak hormon tiroksin.
Hormon prolaktin juga meningkat sewaktu mengandung dan berperanan untuk menggalakkan kelenjar susu menghasilkan lebih banyak susu sebagai persediaan sebelum bersalin. Paras hormon cortisol juga turut meningkat.
Perubahan pada kemaluan:
Rahim wanita yang tidak mengandung mempunyai berat sekitar 100 gram dan berat rahim boleh meningkat sehingga 1100 gram sewaktu mengandung. Ini disebabkan oleh hypertrophy (pembesaran sel rahim) yang meningkatkan berat organ tersebut. Hypertrophy organ rahim berlaku sehingga minggu ke 20 kehamilan. Dari minggu ke 20 ke minggu ke 40, rahim sudah tidak lagi mampu membesar secara hypertrophy, dan pembesaran seterusnya adalah melalui proses penegangan (stretching).
Sewaktu mengandung, seorang wanita itu akan mendapati 'discharge' dari kemaluan keluar lebih banyak dari biasa. Ini perkara normal yang berlaku bagi ibu mengandung. Sewaktu mengandung, mukus lebih banyak dihasilkan menyebabkan 'discharge' tersebut.
Perubahan pada hemodinamik (perederan darah):
Plasma darah ibu mengandung adalah 50% lebih berbanding wanita yang tidak mengandung, dan isipadu darah merah pula meningkat sebanyak 18-30%. Disebabkan isipadu plasma darah meningkat lebih banyak berbanding isipadu darah merah, maka ia menyebabkan darah kelihatan seolah olah 'dilarutkan' dan fenomena ini dipanggil 'anemia fisiologi'.
Platelet dan sel darah putih juga meningkat. ESR (erythrocyte sedimentation rate) meningkat sebanyak 4 kali ganda dari biasa.
Perubahan Jantung dan salur darah:
Cardiac Output (jumlah darah yang dipam oleh jantung dalam masa seminit) meningkat dari 5 liter kepada 6.5-7 liter seminit pada minggu pertama kehamilan. Jumlah ini meningkat kerana jantung bekerja lebih keras dari biasa dengan mengepam darah sebanyak 10% lebih isipadu dari biasa dan degupan jantung pula bertambah 15 degupan seminit lebih banyak dari biasa. Kemudian, sewaktu trimester kedua (bulan 4 - 6 kehamilan), ibu akan mengalami kejatuhan tekanan darah akibat rintangan darah yang berkurangan, menyebabkan bacaan diastolik berkurangan.