Implanon (Nexplanon) Implan Pencegah Kehamilan



Implanon atau namanya yang terbaru, Nexplanon merupakan sejenis alat pencegah kehamilan yang berbentuk rod yang mana saiznya hanya sebesar sebatang mancis dapur adalah alat yang dimasukkan ke bawah kulit (sub-dermal) untuk mencegah wanita daripada hamil. Batang/rod ini mengandungi kandungan progesteron sintetik yang dipanggil etonogestrel yang bertujuan menghalang kesuburan buat sementara waktu selama mana rod itu dipasang di bawah kulit. Setelah rod itu dikeluarkan dari badan, kesuburan kembali seperti sediakala hampir serta merta..

Alat ini merupakan ciptaan yang amat ajaib dalam kaedah perancangan keluarga kerana peratusan kejayaan dalam mencegah kehamilan adalah yang tertinggi antara semua kaedah mencegah kehamilan yang lain. Berikut merupakan jadual peratusan kegagalan Implanon dalam mencegah kehamilan dan peratusan kegagalan kaedah kaedah yang lain (Implanon menunjukkan kadar peratusan kegagalan yang paling rendah iaitu 0.05%):


Gambar dari: endotext.org

Bagaimana rod sebesar mancis ini boleh membantu mencegah kehamilan dan memastikan perancangan keluarga berjalan dengan lancar?

Etonogestrel yang terkandung di dalam rod ini menyerupai hormon Progesteron yang dihasilkan badan. Pada kebiasaannya, hormon semulajadi progesteron akan dihasilkan oleh ovari pada hari ke 14 oleh ovari. Hal ini berikutan pembebasan telur (ovum) dari ovari ke dalam rahim. Atau dengan kata lain, apabila telur dihasilkan oleh ovari, selaput sel yang menyelubungi telur di dalam ovari akan menghasilkan progesteron. Progesteron yang dihasilkan ini berfungsi menyampaikan arahan kepada otak (di kawasan kelenjar pituitari) agar mengurangkan penghasilan hormon FSH (follicular stimulating hormone) dan LH (leutinizing hormone) seterusnya mengelakkan pembentukan telur (ovum) baru. Sewaktu datang bulan, selaput yang menghasilkan hormon progesteron ini merosot dan menyebabkan bekalan progesteron berkurangan, akibatnya, dinding rahim luruh dan FSH (follicle stimulating hormone) kembali aktif bekerja membentuk telur baru.

Maka, apa yang dilakukan oleh rod ini ialah menghasilkan progesteron tiruan yang sentiasa memastikan hormon dari otak (FSH dan LH) berada di paras rendah dan mengelakkan dari berlakunya pembentukan folikel telur baru.

Berikut merupakan gambarajah yang menerangkan mekanisma normal dalam sistem peranakan wanita:

Gambar dari: embryology.med.unsw.edu.au
    Lihat gambar di atas, sewaktu peningkatan hormon Progesterone, berlaku pada hari ke 17, paras hormon LH dan FSH menjadi rendah, seterusnya menghalang pembentukan dan pembebasan folikel baru dari ovari. Jadi, dengan memastikan paras Progesteron sentiasa tinggi (dengan menggunakan implanon), kita dapat merendahkan paras FSH dan LH dalam darah:

    Gambar di-edit sendiri, gambar asal diperoleh dari: embryology.med.unsw.edu.au

    Selain dari mekanisma hormon di atas, progesteron juga berperanan untuk menebalkan lendiran (mukus/mucus) dalam faraj yang menjadikannya lebih sukar untuk ditembusi oleh sperma.

    Walau secanggih manapun teknologi ini, ia tetap mempunyai kelemahan. 

    Penggunaan progesteron yang berterusan tanpa estrogen menyebabkan penghasilan estrogen yang semakin berkurangan. Terdapat segolongan wanita yang melaporkan tidak datang bulan langsung setelah beberapa tahun menggunakan Implanon. Walaubagaimanapun, tiada laporan mengenai osteoporosis setelah menggunakan Implanon. Namun kes ini tidaklah serius. Apa yang lebih serius ialah penggunaan implanon menyebabkan datang bulan / pendarahan yang berlaku secara kadang kadang. Kadang kadang dalam bulan tersebut, darah haid akan datang secara tiba tiba dan tidak menentu. Ini yang merisau dan merimaskan ramai wanita. Selain daripada itu ramai juga wanita yang melaporkan peningkatan berat badan akibat pengumpulan air dalam tisu badan kesan daripada penggunaan progesteron yang juga merupakan sejenis steroid.

    Implanon tidak dilaporkan sebagai penggalak kanser payudara sepertimana pil pil pencegah kehamilan yang menggunakan estrogen sebagai salah satu bahan di dalamnya. Walaubagaimanapun, disebabkan Estrogen tidak terdapat dalam implanon, maka, implanon dilaporkan tidak dapat mengurangkan kes kanser serviks seperti yang boleh dilakukan oleh pil pencegah kehamilan yang mengandungi estrogen. 

    Walaubagaimanapun, sepertimana kaedah hormon yang lain, implanon dilaporkan meningkatkan kes masalah jantung. Masalah salur darah tersumbat (trombosis), dan penyakit hati (liver) pula dilaporkan sangat kurang berbanding dengan kaedah pencegah kehamilan yang lain,, yang menjadi antara sebab mengapa ia sangat disukai ramai wanita selain sifatnya yang tidak mendorong kepada kanser payudara..

    Apa yang menjadi punca kegagalan dalam 0.05% wanita yang menggunakan Implanon (nexplanon) ialah pemasangan implan ke bawah kulit yang tidak betul yang menyebabkan implan tersebut bergerak menyelinap masuk ke kawasan otot. Jadi, sentiasa pastikan implan anda berada di tempat ia dimasukkan dan pastikan doktor memasukkannya dengan betul ke kawasan bawah kulit anda, tidak terlalu dalam.


    Gambar dari: health.com



       
      Hak Milik KesihatanOnline.Com. Powered by Blogger.