Kontraksi kelahiran dan kontraksi Braxton Hicks (perut mengeras)



Perbezaan Kontraksi Kelahiran dan Kontraksi Braxton Hicks.

Para ibu yang sedang hamil lazimnya pada usia 30minggu ke atas kerap kali mengadu perutnya 'mengeras' ataupun sakit di bahagian pinggang dan abdomen. Ini menimbulkan keresahan terutama kepada ibu yang mengandung kandungan sulung.

Walaubagaimanapun, para ibu seawal 20minggu usia kandungan juga kadang-kala sudah boleh mengalaminya.

Perut mengeras merupakan tanda rahim sedang mengecut/mengembang atau mengalami proses kontraksi (contraction). Jika anda meletakkan tangan ke atas perut, anda dapat merasakan otot pada bahagian itu sedikit mengeras. Namun, perut mengeras tidak semestinya menandakan kelahiran (labor) sudah bermula.

Ia merupakan reaksi rahim (uterus) sebagai persediaan sebelum proses kelahiran kerana pada waktu bermulanya kelahiran nanti, akan berlaku perubahan pada struktur rahim dan serviks untuk memudahkan perjalanan bayi. Inilah yang dinamakan kontraksi 'braxton hicks'.


Bagaimana membezakan kontraksi kelahiran dan kontraksi braxton hicks
Kontraksi braxton hicks:

- Tidak kerap (satu atau dua kali dalam 1jam)
- Sekejap (15-30 saat)
- Tidak tetap (irregular)
- Tiada ritma (rhythm)
- Tidak bertambah kadar pengerasan (intensity)
- Berhenti bila berlaku pertukaran ativiti atau posisi badan
- Tidak terlalu sakit/hanya kurang selesa

Kontraksi kelahiran
- Lebih kerap (frequent) 10minit sekali, 5minit sekali dan semakin kerap.
- Lebih lama
- Teratur (regular)
- Beritma
- Bertambah sakit dan intensitinya
- Berbentuk 'wave' biasanya bermula dari paras rahim menuju ke bahagian bawah abdomen

Bagaimana mengurangkan kesakitan atau ketidakselesaan Braxton Hicks Kontraksi
- Merubah posisi badan
- Membuat aktiviti
- Minum air secukupnya
- Menuam ais (cold compression) atau tuala panas
- Mengusap perut

Walaubagaimanapun, jika kontraksi yang anda alami pada usia kandungan sebelum 37minggu disertai dengan cecair atau darah ataupun tanda-tanda lain kelahiran seperti pecah air ketuban, seelok-eloknya anda terus menghubungi doktor atau klinik berhampiran kerana kemungkinan anda mengalami risiko kelahiran bayi pramatang.

Ditulis Oleh: Dr Nurul Izati Zakaria














 
Hak Milik KesihatanOnline.Com. Powered by Blogger.