Sakit jantung merupakan penyakit yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Drama tv dan filem selalu menunjukkan babak penyakit ini menyerang individu berumur terutamanya yang dalam keadaan tertekan. Ya, sememangnya apa yang ditunjukkan di dalam kaca televisyen itu ada kesamaannya dengan dunia nyata.
Sakit jantung atau serangan jantung juga dipanggil Myocardial Infarction. Ia disebabkan kekurangan darah masuk ke otot jantung. Kesannya ialah otot jantung menghasilkan asid laktik yang banyak dan menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat. Tetapi bagaimana darah boleh terhalang dari sampai ke otot jantung? Ini boleh berlaku sekiranya salur darah yang menyalurkan darah ke jantung (coronary artery) tersumbat. Selain daripada itu, terdapat punca lain yang boleh menyebabkan darah kurang masuk ke salur darah ini (ciriinary artery) seperti kurangnya sel darah merah dalam darah (anemia), lemah jantung/ kegagalan jantung (heart failure) atau keracunan Cyanide. Walaubagaimanapun, punca utama yang menghalang darah daripada masuk ke salur darah ini ialah salur darah yang tersumbat.
![]() |
| Gambar menunjukkan salur arteri jantung (coronary artery) yang tersumbat. Sekiranya salur jantung ini tersumbat, ia menyebabkan serangan sakit jantung (heart attack). |
Salur darah boleh tersumbat sekiranya seseorang itu mengamalkan tabiat makan yang tidak sihat seperti makan secara berlebihan, mengambil terlalu banyak lemak, kurang mengambil lemak ikan dan kurang mengambil serat. Individu yang kurang melakukan sukan juga boleh mendapat risiko penyakit jantung. Stres akibat beban kerja dan masalah yang selalu mengganggu juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung.
Statistik menunjukkan lebih ramai lelaki menghidap penyakit jantung daripada wanita. Ini demikian kerana wanita mempunyai hormon estrogen yang dapat mengurangkan kemungkinan seseorang itu dari menghidap sakit jantung.
Terdapat 4 faktor utama yang menyebabkan sakit jantung. Sekiranya seseorang itu mempunyai salah satu daripada faktor ini, maka kemungkinan untuknya menghidapi masalah sakit jantung meningkat sangat tinggi. Empat faktor tersebut ialah:
- Merokok
- Darah tinggi
- Hyperlipidemia (kandungan lemak tinggi dalam darah)
- Kencing manis
Merokok adalah salah satu faktor yang amat besar yang menyebabkan masalah sakit jantung. Namun ia juga adalah salah satu faktor yang mampu dielakkan. Anda tidak mampu mengubah jantina anda, anda tidak mampu mengubah diri hilang dari penyakit darah tinggi, tetapi anda mampu berhenti merokok sekiranya anda merokok.
Antara tanda tanda sakit jantung ialah:
- Sakit yang teramat sangat (paling sakit yang anda pernah rasai pada dada)
- Sakit yang berpanjangan (lebih 20 minit)
- Sakit bersifat menghempap atau panas terbakar dan bukan bersifat mencucuk
- Berpeluh
- Muntah
- Sakit yang merebak sampai ke rahang gigi bawah, bahu kiri dan tangan kiri.
- Sakit yang mula baik sewaktu rehat dan bertambah teruk sewaktu melakukan aktiviti berat
- Pengsan
Seseorang yang mengalami serangan sakit jantung biasanya akan dibawa ke ward kecemasan hospital untuk dikenakan ujian ECG. Ujian ini akan memeriksa status elektrik jantung kemudian doktor akan membuat rawatan sewajarnya berdasarkan bacaan ECG tersebut. Sekiranya seseorang itu disahkan mengalami sakit jantung, dia terpaksa dibawa ke dewan bedah untuk proses kateter (baloon angioplasty dan fibrinolysis).
Apakah Baloon angioplasty?
Baloon angioplasty ialah sejenis prosedur memasukkan belon ke dalam salur darah jantung untuk membesarkan artery jantung yang sudah tersumbat kembali kepada saiz lubang salur darah yang lebih besar. Belon tersebut akan dimasukkan menggunakan dawai halus daripada kaki, kemudian ditolak sehingga ia naik ke dada untuk memasuki jantung.
![]() |
| Gambar menunjukkan belon (lutsinar) yang dikembangkan untuk membuka semula arteri (salur darah) yang telah tersumbat. Gambar dari Wikipedia. |
Fibrinolysis pula ialah proses memasukkan ubat RTeplase untuk memecahkan sumbatan fibrin yang menyebabkan sumbat pada arteri jantung. Ia adalah sejenis rawatan modern yang mempunyai risiko pendarahan.
Jadi, KesihatanOnline menasihatkan, pastikan anda dan keluarga anda mengamalkan gaya hidup sihat agar anda dapat mengelakkan masalah sakit jantung. Mencegah lebih baik daripada merawat.


